Lans Koperal tembak isteri ada masalah kemurungan, mangsa hamil lima bulan

Sinar Harian
Mac 6, 2023 14:15 MYT
Che Mas (Gambar kecil: Safsufarnisha) berkata, anak bongsunya itu (mangsa) merupakan seorang suri rumah dan hubungannya dengan suspek baik malah tiada pertengkaran berlaku. - Foto Sinar Harian
KANGAR: Anggota polis yang menembak isterinya hingga maut dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak beberapa tahun lalu.
Ibu mentuanya, Che Mas Taha, 63, berkata, menantunya itu pernah diserang kemurungan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.
Katanya, suspek ketika itu memandu kereta tanpa hala tuju sehingga kehabisan minyak dan tersadai di tepi lebuh raya.
"Masa tu anak makcik, Safsufarnisya Salleh, 26, terpaksa minta bantuan rakan sekerja untuk cari suami dia.
"Menantu masa tu dikatakan sembahyang tepi lebuh raya sambil menangis tanpa sebab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Baru Simpang Empat di sini pada Isnin.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Setiu, Terengganu itu merupakan menantu yang sangat rapat dan ringan tulang.
"Lepas berkahwin mereka terus berpindah tinggal dengan makcik dan suami (Salleh Ezan, 61) memandangkan suami pun tidak sihat kerana menghidap kanser usus tahap empat.
"Jadi setiap kali pemeriksaan di hospital, sampai ke Alor Setar pun memang dia la yang bawa kami, sebab anak-anak lain duduk jauh," katanya.
Che Mas menambah, walaupun suspek hanya seorang menantu tetapi kasih sayang kepadanya sama seperti anak sendiri.
"Makcik memang sayang dia macam anak sendiri, dia pula layan kami dengan baik, makcik memang tak sangka benda akan jadi seteruk ini," katanya dalam keadaan sebak.
[TERKINI] Lans koperal direman tujuh hari bantu siasatan
Ibu kepada empat cahaya mata ini menambah, anak bongsunya itu (mangsa) merupakan seorang suri rumah dan hubungannya dengan suspek baik malah tiada pertengkaran berlaku.
"Anak sedang hamil lima bulan, setiap kali pemeriksaan perut suami dia yang akan bawa, mereka tiada masalah dan nampak bahagia saja sejak berkahwin dua tahun lalu.
BACA: Tembak mati isteri: Lans Koperal direman tujuh hari
"Tapi mungkin ini ujian untuk kami sekeluarga, makcik reda cuma berdoa semoga makcik kuat hadapi dugaan ini," katanya.
Che Mas berkata, jenazah Safsufarnisya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat di sini setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Dalam kejadian pada Ahad, wanita berusia 26 tahun itu maut selepas ditembak dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 7.26 pagi.
Hari ini, polis memperolehi reman selama tujuh hari bagi melengkapkan siasatan ke atas suspek yang juga anggota polis berpangkat Lans koperal yang menembak mati isterinya di sebuah rumah di Simpang Empat, pada Ahad.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor di dalam sebuah wad di Hospital Tuanku Fauziah bermula hari ini sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan.
Artikel asal ini diterbitkan di
#Che Mas Taha #Safsufarnisya Salleh #Lans Koperal tembak mati isteri #Lans Koperal kena reman tujuh hari
;