Lans koperal bebas tuduhan sebabkan buruh cedera parah

Bernama
November 15, 2022 21:37 MYT
Dalam penghakimannya, Azhar berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira keterangan saksi pembelaan keempat, yang merupakan saksi mata iaitu rakan tertuduh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan cedera parah dengan niat mendatangkan kematian seorang buruh, lima tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Baxter Kisar, 32, selaku perayu, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM10,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada Mac lepas.
Dalam penghakimannya, Azhar berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira keterangan saksi pembelaan keempat, yang merupakan saksi mata iaitu rakan tertuduh.
"Keterangan saksi keempat itu telah menyokong keterangan perayu, namun hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira perkara itu. Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu dan melepas dan membebaskan perayu daripada pertuduhan itu," kata Azhar.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Guok Ngek Seong mewakili perayu.
Pada 28 Mac lepas, Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM10,000 terhadap Baxter, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Lelaki yang berasal dari Sabah itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, denda itu telah dibayar tertuduh.
Baxter didakwa melakukan perbuatan itu terhadap A. Krishnan, 38, di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Rampai Niaga, Sri Rampai, Wangsa Maju di sini, antara 5 pagi dan 5.45 pagi, 18 Julai 2017, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi #anggota polis #niat membunuh #Bebas
;