Lanjutan PKPP demi keselamatan rakyat - Verdon Bahanda

Astro Awani
Ogos 28, 2020 23:11 MYT
VERDON berkata, setakat ini, Malaysia membuktikan mampu mengawal penularan pandemik COVID-19 secara teratur. - Astro AWANI
Keselamatan rakyat Malaysia menjadi tunjang Kerajaan Perikatan Nasional dalam membuat keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Disember ini.
Aktivis Orang Asal Sabah, Datuk Verdon Bahanda berkata, keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sudah pasti bukan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya demi kesejahteraan semua.
Tambahnya, setakat ini, Malaysia membuktikan mampu mengawal penularan pandemik COVID-19 secara teratur.
“Saya percaya setiap menteri dalam Kabinet mempunyai pengalaman dan telah mengkaji setiap aspek yang perlu dilakukan. Perkara ini perlu kita hargai.
“Saya juga percaya keputusan itu demi kebaikan semua tanpa membiarkan rakyat negara ini menderita,” katanya kepada Astro AWANI malam ini.
Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan PKPP yang berakhir Isnin ini, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Muhyiddin berkata, pelanjutan tempoh PKPP itu bermakna tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih digunakan.
#Aktivis orang asal Sabah #COVID-19 #Datuk Verdon Bahanda #Kudat #Lanjutan PKPP #Muhyiddin Yassin #PKPP
;