Lanjutan PKPD di beberapa kawasan Sabah dan Pulau Pinang

Hilmi Malik
November 18, 2020 17:45 MYT
ISMAIL: Kawasan yang dilanjutkan PKPD di Pulau Pinang adalah melibatkan Penjara Seberang Perai, Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan beberapa kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi negeri Sabah dan Pulau Pinang setelah mendengar saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang dilanjutkan PKPD di Pulau Pinang adalah melibatkan Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai.
“Atas nasihat KKM, kerajaan setuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang selama 14 hari lagi bermula 19 November sehingga 2 Disember.
“Sehingga kini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 yang dikesan adalah sebanyak 557 kes dan pihak KKM mengesahkan masih terdapat 75 ujian saringan dalam kalangan banduan, staf dan keluarga yang masih menunggu keputusan,” katanya ketika sidang media pada Rabu.
Mengenai PKPD di Sabah, lanjutan PKPD melibatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan Dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan selama 14 hari lagi bermula 20 November 2020 hingga 3 Disember,” katanya lagi.
Setakat ini, KKM telah membuat sebanyak 1,743 saringan dan sehingga 17 November 2020 masih terdapat 141 kes aktif direkodkan manakala 203 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.
#PKPD #COVID-19 #KKM #ismail sabri yaakob #MKN #Seberang Perai #Sandakan
;