Lanjutan operasi MAHB tingkat kecekapan pengendalian lapangan terbang

Bernama
November 4, 2019 04:45 MYT
Pelanjutan tempoh OA ini juga membolehkan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial lebih berdaya maju dan mapan, seterusnya meningkatkan pendapatan kerajaan.
Perjanjian operasi (OA) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang dilanjutkan sehingga 11 Feb, 2069 dijangka dapat meningkatkan kecekapan pengendalian lapangan terbang, selain menyumbang kepada ekonomi negara melalui industri pelancongan, pelaburan asing dan sebagainya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerangka perjanjian OA baharu dengan tempoh lebih panjang itu, dapat membuka banyak peluang pelaburan swasta dalam aktiviti pembangunan lapangan terbang negara.
"Pelanjutan tempoh OA ini juga membolehkan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial lebih berdaya maju dan mapan, seterusnya meningkatkan pendapatan kerajaan," kata Loke ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, bagi pihak kementerian pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Melalui mekanisme perkongsian hasil tanah milik kerajaan yang dibangunkan MAHB, Loke optimis bahawa kerajaan akan menerima bayaran cukai tinggi, selain dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
April lepas, kerajaan meluluskan permohonan MAHB untuk melanjutkan tempoh OA bagi menjalankan operasi, mengurus dan menyelenggara di 39 lapangan terbang di bawah kendaliannya sehingga 11 Feb 2069.
Berdasarkan keputusan itu, OA sedia ada iaitu OA untuk 'For KL International Airport' (OA For KLIA) dan 'OA For Designated Airports' yang ditandatangani pada 12 Feb 2009 akan dibatalkan.
Mengulas mengenai isu kejatuhan saham MAHB, Loke menjelaskan bahawa beliau tidak mahu komen akan hal itu dan sebaliknya berkata kerajaan akan terus memberi fokus kepada fungsi kawal selia industri penerbangan, agar ia lebih mantap, adil dan berdaya saing.
"Kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan dasar mesra pelabur di mana anggota pentadbiran kerajaan sentiasa sedia berbincang, berkongsi dan mendapat maklumat balas daripada para pelabur dan industri, berkenaan cabaran industri, hala tuju dasar secara terbuka," katanya sambil menegaskan keyakinan terhadap Khazanah Nasional Bhd yang merupakan pemegang saham utama MAHB.
Mengenai cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Loke berkata bagi meningkatkan kapasiti sedia ada di LTAKK kerajaan perlu menjalankan proses pengambilalihan tanah milik Kerajaan Negeri Sabah.
"Bagi memperincikan perancangan itu, kajian Pelan Induk mengenai pembesaran LTAKK sedang dijalankan MAHB mulai Ogos lepas. Ia akan mengambil masa selama tujuh bulan dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi #Khazanah #KLIA #Kuala Lumpur #MAHB #pelancongan #penerbangan
;