Lanjut moratorium kepada usahawan PMKS sedang dipertimbang - Noh Omar

Bernama
September 19, 2022 16:12 MYT
Noh berkata, lanjutan moratorium akan diberikan mengikut kes-kes tertentu dengan mengambil kira keperluan usahawan PMKS terbabit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang menimbangkan kemungkinan untuk melanjutkan moratorium kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang masih belum pulih ekadaan ekonominya akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun berkata lanjutan moratorium akan diberikan mengikut kes-kes tertentu dengan mengambil kira keperluan usahawan PMKS terbabit.
Katanya kes-kes mahkamah dan kebankrapan terhadap usahawan PMKS juga akan ditangguhkan sehingga hujung tahun ini untuk memberi ruang kepada mereka memulihkan perniagaan terlebih dahulu.
"Kita faham bahawa mungkin di luar sana masih ada yang memerlukan moratorium. Mereka boleh membuat rayuan kepada kami," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Makanan Halal Tanpa Tunai di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan mencadangkan perkara itu memandangkan sektor yang menyumbang RM518.1 bilion atau 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas itu masih belum pulih sepenuhnya.
Menurut Muhyiddin, sektor PMKS kini menanggung beban hutang tinggi dan ia diburukkan lagi dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
-- BERNAMA
#Moratorium #Noh Omar #PMKS #COVID-19
;