Lanjut lagi, PAC dedah 5 kapal tempur LCS hanya akan siap pada 2029

Hilmi Malik
Oktober 9, 2023 06:52 MYT
Tiada kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC pada 11 Disember 2021 hingga lawatan PAC pada 10 Jun 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Tempoh masa bagi pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dilanjutkan lagi kepada 83 bulan dan kesemua kapal terbabit akan diperoleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2029.
Perubahan itu juga tidak lagi seperti kontrak asal sebelum ini iaitu kesemua kapal terbabit perlu diserahkan pada tahun 2022.
Naib Pengerusi Jawatan Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Shu Qi dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan, tiada kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC pada 11 Disember 2021 hingga lawatan PAC pada 10 Jun 2023.
“Melalui pelan mobilisasi yang terkandung dalam SA 5 yang ditandatangani pada 31 Mei 2022, Mindef (Kementerian Pertahanan) merancang dengan lebih teliti selepas kegagalan menepati jadual asal pembinaan LCS di mana keenam-enam kapal sepatutnya siap pada tahun 2023.
“Isu utama detailed design LCS masih belum diselesaikan yang mana kini berada pada kadar 96 peratus kesiapan di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group daripada Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.
“Bagaimanapun kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa detailed design perlu disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6,” katanya.
Selain itu, keputusan untuk mengurangkan daripada enam kepada lima kapal LCS dibuat berikutan pembinaan blok LCS 6 masih belum dimulakan dan peralatan yang telah dibeli boleh digunakan pada LCS yang lain.
“Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima, kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion),” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, PAC berpendapat, tindakan Mindef membelakangkan Peguam Negara dalam menandatangani perjanjian (SA 6) juga merupakan satu tindakan yang tidak wajar.
Menurutnya, perkara itu juga boleh memberikan kesan perundangan terhadap kerajaan dan ia tidak sepatutnya berulang.
Sebagai langkah penambahbaikan, PAC juga telah mengemukakan enam perkara terhadap kerajaan berhubung isu perolehan LCS seperti berikut:
1. Mindef perlu memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat yang telah ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.
2. Mindef perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan detailed design sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6.
3. Kerajaan hendaklah memastikan pengambilalihan BNS oleh Ocean Sunshine Bhd. mencapai matlamat asal pelaksanaannya.
4. Mindef dan TLDM bertanggungjawab dalam memastikan keseluruhan projek pembinaan lima buah LCS bernilai RM11.22 bilion disiapkan serta diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh dan kos yang telah dipersetujui dalam SA 6.
5. Kementerian dan agensi kerajaan hendaklah memastikan supaya deraf kontrak yang dirunding dengan syarikat telah dirujuk dan disemak sebagai teratur serta dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terlebih dahulu sebelum ditandatangani.
6. Jabatan Audit Negara (JAN) perlu menjalankan pengauditan sebelum LCS 1 diserahkan kepada TLDM dan membentangkannya di Parlimen.
#LCS #Mindef #TLDM #PAC #tangguh lagi