Langkawi zon hijau, tak perlu risau datang bercuti - LADA

Bernama
September 16, 2020 16:39 MYT
Dr Hezri Adnan berkata, orang ramai tidak perlu risau ke Pulau Langkawi. - Gambar fail/BERNAMA
Langkawi kekal sebagai zon hijau COVID-19, justeru pelancong tidak perlu risau untuk ke pulau peranginan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan.
Katanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar bermula 11 Sept lepas tiada kaitan dengan Langkawi yang turut mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.
Menurutnya usaha LADA dan pemain industri untuk menarik pelawat ke pulau peranginan itu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mula menunjukkan hasil dengan kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi pada Jun.
"Pada Julai jumlah meningkat kepada 189,000 dan kita lihat trend yang sama pada Ogos, namun pelaksanaan PKPD sedikit-sebanyak menjejaskan usaha yang dilakukan mungkin kerana ada kekhuatiran dalam kalangan pelancong.
"Ini tidak benar, aktiviti pelancongan di Langkawi masih berjalan seperti biasa, kita berada dalam zon hijau tidak harus ada kegusaran atau risau dalam kalangan pengunjung untuk datang ke Langkawi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran 'Selfie Ria:Selfie Museum The Dessert Series' di Oriental Village di sini, hari ini.
"Oleh itu, saya nak mengajak pengunjung yang bercadang untuk melancong ke Langkawi terus datang ke sini, kita selamat and it's fun to be here," tambahnya.
#COVID-19 #pelancongan #pergerakan rentas negeri #perintah kawalan pergerakan #PKPD #rentas negeri
;