Langkawi tidak tersenarai dalam laluan LTdL bukan kali pertama - Hannah

Bernama
September 18, 2023 15:59 MYT
Hannah Yeoh berkata setiap penganjur masih mengekalkan nama Langkawi sebagai ikon jelajah berbasikal berstatus Pro Series dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu. -Bernama
KUALA LUMPUR: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 Sept ini tanpa melibatkan peringkat perlumbaan di Pulau Langkawi bukan kali pertama berlaku sepanjang 26 tahun edisi penganjurannya, Dewan Rakyat diberitahu.
Malah, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata setiap penganjur masih mengekalkan nama Langkawi sebagai ikon jelajah berbasikal berstatus Pro Series dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.
"LTdL merupakan jenama khusus sukan berbasikal yang dikenali di peringkat antarabangsa.
"Mengikut rekod kami 11 daripada 26 edisi berlangsung dengan laluan dipilih tanpa melibatkan Pulau Langkawi dan berdasarkan kepada penilaian teknikal melibatkan laluan perlumbaan berbeza pada tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat hari ini.
Hannah berkata pemilihan laluan bagi edisi ke-27 tahun ini pada asalnya dicadangkan menjelajah sebanyak mungkin bandar raya dan pekan kecil di Semenanjung, namun penilaian teknikal memutuskan laluan hanya melibatkan 11 negeri dengan jarak keseluruhan 1,278.1 kilometer (km) merangkumi lapan peringkat perlumbaan.
"Selain itu pemilihan laluan adalah berdasarkan faktor untuk mengekalkan cabaran tinggi dan sukar yang amat sinonim dengan LTdL selain mengambil kira pergerakan serta kos logistik yang tinggi," katanya.
Sementara itu, Hannah memberitahu KBS meluluskan peruntukan RM400,000 bagi menaik taraf litar motorcross di Sungai Batu Pahat, Kangar yang disalurkan kepada Majlis Sukan Negeri Perlis.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus membantu negeri seperti Perlis meningkatkan sukan di sana," katanya.
-- BERNAMA
#LTdL #Hannah Yeoh #Dewan Rakyat #bukan kali pertama
;