Langkawi sedia terima kehadiran pelancong antarabangsa

Salim Aziz
Oktober 13, 2021 19:59 MYT
Pulau peranginan popular, Langkawi sedia menerima kehadiran pelancong antarabangsa susulan kejayaan yang dicapai dalam projek rintis Gelembung Pelancongan sejak 16 September lalu.
LANGKAWI: Pulau peranginan popular, Langkawi sedia menerima kehadiran pelancong antarabangsa susulan kejayaan yang dicapai dalam projek rintis Gelembung Pelancongan sejak 16 September lalu.
Keyakinan itu beritik tolak pada rekod kehadiran 80,894 pelancong domestik selama 25 hari menerusi program Gelembung Pelancongan.
Ditambah pula dengan kelonggaran yang dibuat oleh kerajaan iaitu permit polis tidak diperlukan serta pemberhentian ujian pengesanan COVID-19 menyebabkan Langkawi menjangkakan kehadiran pelancong yang berganda.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, penjanaan ekonomi sebanyak RM33 juta oleh Langkawi sepanjang tempoh Gelembung Pelancongan membuatkan pulau itu sangat optimis untuk menerima pelancong antarabangsa.
Paling utama, kata beliau, Langkawi diharapkan akan menjadi projek perdana terhadap usaha membuka pintu kepada pengunjung antarabangsa bagi sektor pelancongan negara.
“Kita menawarkan agar Langkawi dapat menjadi pilot project kepada pelancong antarabangsa di Malaysia, contohnya, semua penerbangan antarabangsa boleh masuk ke Langkawi dengan SOP (prosedur operasi standard) antarabangsa yang akan diputuskan bersama Kementerian Pelancongan dan juga Majlis Keselamatan Negara sedikit masa lagi,” katanya kepada wartawan di sini, pada Rabu.
Nasarudin berkata demikian selepas merasmikan Program Santai LADA Bersama Komuniti yang melibatkan kira-kira 57 orang wakil komuniti di Dataran Lang.
Dalam sesi yang sama, LADA turut menyerahkan bantuan projek ekonomi baharu, Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi atau ‘Peb Helang’ kepada syarikat Tapau Food Services.
BACA: Tiada lagi keperluan lakukan ujian saringan COVID-19 ke Langkawi - Khairy
#Langkawi #pelancong antarabangsa #Lembaga Pembangunan Langkawi #ujian pengesanan COVID-19
;