Langkawi catat kutipan e-sisa tertinggi di Kedah

Bernama
Disember 22, 2023 15:02 MYT
Kutipan tertinggi dicatatkan di Langkawi dengan 22.6 tan atau 90 peratus daripada kutipan di seluruh negeri dilakukan di pulau peranginan itu. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengutip sebanyak 24 tan buangan barangan elektrik dan elektronik (e-sisa) di seluruh negeri sepanjang tahun ini, kata pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab.
Beliau berkata kutipan tertinggi dicatatkan di Langkawi dengan 22.6 tan atau 90 peratus daripada kutipan di seluruh negeri dilakukan di pulau peranginan itu.
"Program kutipan e-sisa ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat, hotel serta pejabat kerajaan di pulau berkenaan. Setakat ini Langkawi tidak mempunyai sebarang premis yang dilesenkan oleh JAS untuk kutipan dan pemprosesan buangan terjadual termasuk e-sisa.
"Inisiatif yang dilaksanakan JAS ini adalah bagi mengelak buangan ini dibuang merata-rata dan mencemarkan alam sekitar atau dihantar dan diproses di premis-premis haram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sharifah Zakiah kesemua buangan yang dikutip itu dibawa ke tanah besar untuk diproses di premis yang telah dilesenkan oleh JAS.
Dalam perkembangan lain, Sharifah Zakiah turut memaklumkan bahawa satu Perintah Berhenti Kerja telah dikeluarkan pada 13 Dis lepas terhadap sebuah premis kitar semula logam di Gurun yang sebelum ini telah diserbu dan dikenakan tindakan Penahanan Peralatan Operasi oleh JAS Kedah.
"Tindakan di bawah Seksyen 34AA (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127) 1974 (Pindaan) 2012 telah diambil kerana pihak premis telah melanggar syarat-syarat kelulusan serta didapati beroperasi tanpa lesen bagi menempatkan dan memproses buangan terjadual.
"Pihak industri dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi keperluan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.
-- BERNAMA
#Kedah #E-sisa #Langkawi #JAS
;