Langkawi bakal muncul pengeluar utama udang putih Amerika Selatan

Bernama
Januari 20, 2018 18:36 MYT
Abdul Fattah (kiri) mendengar penerangan dari Pengerusi KPPH Saiful Bahri Samsudin (kanan) semasa melawat tapak projek untuk penternakan udang putih Amerika Selatan di Bukit Malut hari ini. --fotoBERNAMA
Langkawi bakal muncul sebagai pengeluar utama udang putih Amerika Selatan menerusi satu jalinan kerjasama projek penternakan hidupan marin itu di antara Koperasi Pelaburan Pembangunan Hartanah Perak Berhad (KPPH) serta kumpulan syarikat dari China, Fubao Group.
Projek berskala besar di Bukit Malut yang dijangka bermula sebelum akhir 2018, juga disasarkan menjana hasil kira-kira RM1.5 bilion setahun selepas tiga tahun pelaksanaannya.
Majlis pemeteraian memorandum persefahaman melibatkan perkongsian teknologi dan pemasaran antara KPPH dan Fubao diadakan hari ini yang turut disaksikan oleh Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Abdul Fattah berkata KPPH telah ditawarkan sebuah kawasan seluas 250 ekar oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut di sini bagi projek yang mampu menghasilkan 300 tan udang putih seekar setahun.
"Koperasi (KPPH) ini akan menjadi teraju (koperasi utama) dan kita boleh mempelawa koperasi lain, terutamanya di Langkawi untuk menyertai usaha ternakan udang ini," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata projek itu juga dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu selain turut menggiatkan lagi usaha-usaha penyelidikan dan pembiakan spesis udang putih tersebut.
Pengerusi KPPH, Saiful Bahri Samsudin berkata projek itu adalah yang kedua diusahakan koperasi itu selepas projek sama di Temoh, Perak, sejak 2016 yang berskala kecil.
"Kami ke Bukit Malut bagi (melaksanakan projek) skala yang lebih besar," katanya.
Selain itu, penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Laut China Selatan Akademi China bagi Sains Perikanan, Prof Xu Wujie yang turut hadir berikutan penglibatannya dalam kajian dengan pihak Fubao berkata, udang putih Amerika Selatan itu mendapat permintaan yang amat tinggi di China.
Menurutnya, China sebaliknya hanya mampu menghasilkan kira-kira 100 juta tan setahun berbanding permintaan sebanyak kira-kira 180 juta tan setahun.
Malah, keadaan cuaca empat musim di China juga tidak begitu sesuai bagi penternakan udang dan penghasilannya terjejas pada musim sejuk.
"Keadaan cuaca di Malaysia sangat istimewa (untuk pembiakan udang putih) dan pasaran di China pula sentiasa ada. Atas alasan inilah kita perlu bekerjasama," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Fattah Abdullah #Amerika Selatan #Bukit Malut #hidupan marin #koperasi #KPPH #Langkawi #Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #LKIM #udang putih
;