Langkah tangani insiden bahan kimia, nuklear dalam garis panduan baharu KKM

Bernama
Oktober 16, 2024 17:15 MYT
Dr Dzulkefly berkata perkara itu terkandung dalam garis panduan pengurusan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) 2024 yang antara lain turut melibatkan tatacara komunikasi risiko dan pelaporan insiden bencana. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Langkah kesiapasiagaan petugas kesihatan bagi menangani insiden melibatkan bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan merupakan antara inti pati lima garis panduan baharu diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pengurusan bencana negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu terkandung dalam garis panduan pengurusan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) 2024 yang antara lain turut melibatkan tatacara komunikasi risiko dan pelaporan insiden bencana.
"Penyediaan garis panduan yang komprehensif dan sistematik dalam pengurusan bencana ialah langkah penting untuk memastikan kesiapsiagaan, respons pantas dan pemulihan yang berkesan semasa dan selepas kejadian bencana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pengurusan Bencana Bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat KKM bertemakan "Ketahanan Sistem Kesihatan Semasa Bencana".
Dzulkefly berkata empat garis panduan baharu yang lain ialah Pelan Pengurusan Bencana Peringkat KKM 2024 yang merupakan induk kepada penghasilan garis panduan yang lain dan Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Prosedur Operasi Standard 2024.
Selain itu, turut tersedia garis panduan bagi Pasukan Penilaian Pantas (RRT) 2024 dan Garis Panduan Mobilisasi Sumber Manusia Semasa Kecemasan Kesihatan Awam 2024.
Beliau berkata kesemua garis panduan itu telah diuji dalam beberapa simulasi di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan rantau serta ditambah baik dari semasa ke semasa menerusi sesi 'After Action Review' (AAR).
-- BERNAMA
#KKM #Dr Dzulkefly #insiden bahan kimia #garis panduan
;