Langkah strategik bagi mitigasi bencana tindakan komprehensif - Samsuri
Bernama
Februari 8, 2022 04:46 MYT
Februari 8, 2022 04:46 MYT
KUALA TERENGGANU: Perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bagi mitigasi bencana dan banjir negara merupakan satu tindakan yang komprehensif.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebagai sebuah negeri yang mempunyai kawasan berisiko tinggi banjir dan berhadapan dengan monsun timur laut setiap tahun, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lepas berhubung langkah strategik itu.
"Bermula daripada aspek pendidikan pengurusan bencana, sistem pengurusan bencana, pendekatan whole of society, pemerkasaan kapasiti komuniti, kelengkapan kemudahan sehinggalah menaik taraf infrastruktur.
"Malah, langkah yang diumumkan ini juga mengambil kira perubahan iklim yang menjadi antara punca kepada banjir atau bencana yang berlaku," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata dengan langkah yang diumumkan itu, kerajaan negeri berharap pengurusan bencana negara pada masa akan datang mampu berjalan dengan lebih lancar dan efektif.
Ahmad Samsuri berkata inisiatif itu juga diharap dapat membawa negara ke satu tahap yang lebih baik dalam pengurusan bencana setelah terpaksa berhadapan dengan kerugian sehingga berbilion ringgit setiap tahun akibat kemusnahan kemudahan dan aset awam.
"Bagi menjayakan usaha ini, sokongan dan dukungan daripada semua pihak berkepentingan amat diperlukan sama ada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan rakyat seluruhnya," katanya.
Pada mesyuarat JPBP yang dipengerusikan perdana menteri Jumaat lepas, lapan langkah strategik digariskan bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara.
Antara langkah itu adalah mengawal penebangan hutan; membina terowong Smart; kota takungan pinggir sungai; dan membangunkan sistem amaran berdasarkan kecerdasan buatan.
Ia merupakan langkah jangka panjang pertama kali dibuat kepimpinan negara dalam mitigasi bencana dan banjir.
-- BERNAMA