Langkah stabil harga ayam dikenal pasti - Nanta Linggi
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 2, 2021 18:51 MYT
Oktober 2, 2021 18:51 MYT
GOPENG: Kerajaan telah mengenal pasti beberapa langkah yang boleh diambil bagi menstabilkan harga ayam agar tidak naik mendadak sehingga membebankan pengguna.
Ia hasil libat urus antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama-sama pemain industri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, ia masih belum dimuktamadkan lagi.
"Kita berharap dengan ada ini nanti dilaksanakan, mungkin kita boleh kawal harga ayam di peringkat ternakan ayam, di peringkat ladang ayam dan di setiap lapisannya nanti.
"Pemborong dan runcit kita boleh kawal juga. Tapi yalah memang perkara ini, naik turun tu memang akan terjadi lah, cuma kita tidak hendak dia terlalu tinggi membebankan rakyat juga," katanya.
Beliau ditemui ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Program Food Bank Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak pada Sabtu.
Menurutnya, antara cadangan itu ialah pemberian pinjaman mudah atau pinjaman mudah kepada penternak ayam.
Berdasarkan maklum balas daripada pemain industri, kos keseluruhan operasi penternakan ayam telah meningkat dan bukan hanya kos makanan ternakan itu.