Langkah segera tangani penularan HFMD di Pulau Pinang
Bernama
Julai 8, 2018 05:38 MYT
Julai 8, 2018 05:38 MYT
Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia telah diarah menjalankan siasatan dan langkah segera bagi mengawal dan menangani jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Pulau Pinang.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, arahan yang sama turut dikeluarkan kepada semua pengarah hospital di Pulau Pinang.
"Bahagian Kawalan Penyakit sedang memberi tumpuan terhadap isu ini, usaha yang perlu sekarang adalah elakkan penularannya, difahamkan kini lebih 1,500 kes dilaporkan mengenai penyakit itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Aidilfitri peringkat Parlimen Kuala Selangor, di sini, pada Ahad.
HFMD adalah penyakit disebabkan virus dan antara gejalanya ialah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut serta lidah.
Pada Jumaat lepas, anggota Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr. Afif Bahardin berkata 1,555 kes HFMD berlaku di negeri berkenaan antara Januari hingga 4 Julai tahun ini berbanding 1,050 kes bagi tempoh sama pada 2017.
Mengulas isu penambahbaikan Klinik 1Malaysia dan Klinik Komuniti, Anggota Parlimen Kuala Selangor itu berkata kementeriannya masih menilai kriteria dan keperluan kemudahan berkenaan terutama yang berada di luar bandar dan yang mempunyai jumlah pengunjung kurang 50 orang.
Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan semak terlebih dahulu keadaan demografi dan jumlah penduduk bagi membolehkan klinik berkenaan memberikan khidmat kesihatan yang lebih baik.
"Tidak adil jika klinik di kawasan luar bandar ditutup hanya kerana pengunjung kurang 50 orang, perkara ini perlu dikaji semula untuk keperluan orang kampung," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan, pihaknya mahu klinik komuniti ini menjadi satu pusat perubatan keluarga yang lengkap dengan doktor.
"Kita mahu naik taraf keperluan dan kelengkapan di klinik ini agar ia bukan sekadar untuk sakit biasa tetapi untuk keperluan sesuatu keluarga dengan kelengkapan perubatan sempurna," katanya.
-- BERNAMA