Langkah lancar manual etika kewartawanan tepat, relevan - Pensyarah

Bernama
Februari 12, 2024 12:05 MYT
Langkah Kementerian Komunikasi untuk melancarkan manual etika kewartawanan disifatkan relevan dan tepat pada masanya dengan mengambil kira trend semasa kemunculan pelbagai platform media. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Komunikasi untuk melancarkan manual etika kewartawanan disifatkan relevan dan tepat pada masanya dengan mengambil kira trend semasa kemunculan pelbagai platform media.
Pensyarah (Program Sarjana), Fakulti Media dan Komunikasi, Taylor's University, Azian Muhamad Adzmi berkata, ia susulan ledakan teknologi maklumat masa kini yang menyaksikan wujudnya pelbagai platform media sosial, media digital dan kecerdasan buatan (AI), yang turut melahirkan wartawan "tanpa lesen".
"Saya rasa ia (manual) perkara yang harus (dilakukan) sebab kita nak memastikan etika kewartawanan dan standard wartawan itu masih berada di peringkat yang masyarakat percaya," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Pada 6 Feb lepas, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor berkata, kementerian dengan kerjasama Jabatan Penerangan akan melancarkan manual etika kewartawanan bulan ini yang bakal memberikan penegasan kepada beberapa aspek termasuk pengesahan sesuatu berita.
Azian berkata, masyarakat juga perlu memahami bahawa untuk menyampaikan sesuatu berita atau maklumat, pengamal media terikat dengan beberapa akta selain maklumat yang ingin disampaikan juga perlulah benar, tepat dan sahih.
"Cara olahan berita oleh wartawan yang mendapat pendidikan formal adalah lain dan tak mengikut emosi, manakala wartawan tanpa lesen ini, mereka menulis mengikut emosi. Kita dalam penulisan juga perlu menjaga tatasusila dengan masyarakat berbilang bangsa," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai pengendalian audio siar atau podcast yang menjadi trend terkini, Azian menasihati pencipta kandungan supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan tetamu undangan.
"Bagi pencipta kandungan ataupun orang yang baru nak berkecimpung dengan dunia kewartawanan ini, walaupun tidak diberikan pendidikan secara formal atau lesen khas sebagai wartawan, mereka sepatutnya lebih berhati-hati memilih tetamu undangan dalam menyampaikan atau berkongsi maklumat kepada awam.
"Mereka juga harus bijak memilih topik yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya. - BERNAMA
#manual etika kewartawanan #platform media #ledakan teknologi maklumat #kecerdasan buatan
;