Langkah kawalan dan pencegahan di lokaliti kejadian rabies

Bernama
Julai 1, 2017 12:49 MYT
DR SIM: Saya minta masyarakat tidak panik dengan berita tersebut.
Jabatan Kesihatan Sarawak melaksanakan langkah kawalan dan pencegahan termasuk menjalankan siasatan di daerah berdekatan lokaliti kejadian rabies atau penyakit anjing gila di Serian, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian.
"Satu mesyuarat melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar dan wakil kerajaan tempatan juga diadakan pagi ini (bermula 8 pagi tadi). Saya minta masyarakat tidak panik dengan berita tersebut paling penting jika anak-anak ada bersikap pelik dan rasa takut terhadap air, segera bawa ke hospital," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik di daerah Serian, Sarawak dijangkiti virus rabies.
Dr Sim yang bertanggungjawab mengawal selia perkara-perkara berkaitan kesihatan negeri berkata selain agensi kerajaan, pihaknya akan turut sama meminta bantuan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) dalam menangani perkara tersebut.
"Jabatan Kesihatan Sarawak dan Jabatan Veterinar dalam tempoh setahun ini ada melaksanakan simulasi untuk menangani penyakit tersebut.
"Begitu juga SPCA sendiri ada melaksanakan dua tiga bengkel untuk menangani penyakit tersebut sebelum ini, jadi kerjasama antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan ini dapat membantu kita.
"Penyakit ini sudah lama tidak berlaku, mungkin masyarakat tidak menyedarinya. Selepas ini diharap masyarakat lebih berwaspada terutama jika anak-anak bersikap pelik dan rasa takut terhadap air," katanya.
Dr Sim juga mahu ahli keluarga mengambil tahu mengenai aktiviti anak-anak mereka terutama apabila bermain dengan anjing.
"Kadang-kadang kanak-kanak kena gigit, tetapi tidak beritahu (anggota keluarga)," katanya.
-- BERNAMA
#anjing gila #rabies #Sarawak #sim kui hian #virus
;