Langkah interim mitigasi banjir kilat di KL, mula tunjuk hasil - Shahidan

Bernama
Mei 26, 2022 16:47 MYT
Shahida berkata ia dapat dilihat apabila kejadian banjir kilat melanda semalam menyaksikan penyusutan air yang bertakung di jalan raya berlaku lebih pantas iaitu kurang 30 minit, malah tiada kenderaan terkandas dilaporkan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengoperasian pencegahan dan mitigasi banjir kilat berasaskan 14 tindakan interim bermula awal bulan ini bagi mengurangkan insiden banjir kilat di ibu kota telah menunjukkan keberhasilan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata ia dapat dilihat apabila kejadian banjir kilat melanda semalam menyaksikan penyusutan air banjir yang bertakung di jalan raya berlaku lebih pantas iaitu kurang 30 minit, malah tiada kenderaan terkandas dilaporkan.
Katanya insiden semalam juga tidak melibatkan sebarang perpindahan penduduk daripada kediaman masing-masing serta tiada sebarang kejadian cerun atau tanah runtuh dilaporkan.
"Berbanding kejadian banjir kilat yang lepas, kali ini dengan perancangan, persediaan dan tindakan lebih rapi serta tahap kesiapsiagaan lebih tinggi, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur semalam hanya membabitkan enam lokasi.
"Enam lokasi itu ialah Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu 3, Jalan Segambut, Jalan Dutamas 2, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching serta Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas)," katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA: Hujan lebat, KL banjir lagi
Ahli Parlimen Arau itu berkata pencapaian itu juga hasil penggunaan sebanyak 120 pam air mudah alih berkuasa tinggi dan berkuasa kecil bagi mengepam keluar air bertakung.
Menjelas lanjut Shahidan berkata penggunaan 5,000 beg-beg pasir (sandbags) di tebing sungai pula berjaya menghalang limpahan air dari Sungai Klang dan Sungai Gombak ke kawasan terjejas terutamanya di Jalan Segambut dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas).
Justeru katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah lagi sebanyak 5,000 beg pasir untuk ditempatkan di kawasan baharu yang dikenal pasti mempunyai keberangkalian berlakunya banjir kilat serta di lokasi sedia ada.
Beliau berkata dianggarkan seramai 500 anggota Task Force terdiri daripada kakitangan DBKL, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk sukarelawan dikejarkan ke lokasi banjir kilat, antaranya untuk membantu aktiviti membersih dan melancarkan saluran (plogging) yang tersumbat dengan sampah sarap.
Tambahnya DBKL dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan (JPBNWP) akan meneruskan usaha mitigasi seperti pembinaan dinding tebatan banjir (flood wall) di lokasi terpilih di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak serta penggunaan 'flap gate' bagi menghalang pengaliran semula air dari Sungai Klang ke kawasan lebih rendah, yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan Sungai.
Shahidan berkata pihaknya juga sedang dalam proses melantik lebih ramai sukarelawan bagi membantu aktiviti 'plogging' dan kerja pembersihan yang ternyata berkesan dalam membantu mengurangkan banjir kilat.
Katanya pihaknya juga menyaran Alam Flora menambah kekerapan jadual kutipan sampah disamping memantau dan membantu melaporkan kepada DBKL akan kawasan lambakan sampah pembinaan ke dalam longkang yang menjadi punca bencana itu.
"JPBNWP, KWP, DBKL dan lain-lain agensi akan sentiasa bekerjasama dalam menambah baik pengurusan mitigasi banjir dan banjir kilat di Kuala Lumpur menerusi langkah-langkah interim jangka pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.
"Saya bertekad agar isu banjir kilat ini akan dapat ditangani dengan segera dan secara berkesan demi kesejahteraan hidup warga kota," katanya.
Pada 9 Mei lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengumumkan pelaksanaan 14 langkah interim dengan kos sekitar RM10 juta di bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 bagi mengatasi isu banjir kilat di ibu negara sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
-- BERNAMA
#bajir kilat #banjir KL #Kuala Lumpur #mitigasi banjir #Shahidan Kassim #DBKL #Kementerian Wilayah Persekutuan
;