Langkah benar keluar KWSP bantu rakyat teruskan kelangsungan hidup

Bernama
Mac 16, 2022 07:00 MYT
Simpanan persaraan di KWSP boleh dibina semula oleh rakyat yang terkesan apabila ekonomi negara semakin pulih. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Langkah membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang diumumkan kerajaan pada Rabu membolehkan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 melunaskan komitmen tertangguh mereka.
Rata-Rata ahli UMNO yang menyokong langkah itu berkata pengeluaran tersebut juga mampu membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup selain merangsang ekonomi setempat khususnya peniaga kecil.
Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan percaya simpanan persaraan di KWSP boleh dibina semula oleh rakyat yang terkesan apabila ekonomi negara semakin pulih.
"Pastinya ramai suka namun ada juga yang tidak berpeluang atau layak untuk membuat pengeluaran. Rakyat sangat memerlukannya sekarang. Nanti banyak lagi projek boleh diberikan kepada KWSP untuk menjana semula keuntungan," katanya.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pula menyifatkan pengumuman kerajaan itu tepat pada masanya di saat sebilangan rakyat benar-benar memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan sama ada pencarum yang mempunyai simpanan lebih RM10,000 ingin membuat pengeluaran atau sebaliknya berada di tangan mereka.
"Yang penting, bila mereka keluarkan (simpanan) boleh buat tambah modal niaga, bayar hutang dan untuk komitmen diri serta keluarga. Macam-Macam boleh guna daripada pengeluaran simpanan itu," katanya.
Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pengumuman itu tidak perlu dilihat sebagai langkah politik sebaliknya bagi membantu rakyat yang kesempitan.
"Mereka ini masih mempunyai simpanan yang besar dalam KWSP dan duit ini diperlukan untuk membayar serta melunaskan komitmen dan hutang yang tertunggak. Jadi, sebab itulah apa yang diumumkan itu memberikan kelegaan yang amat sangat kepada rakyat.
"Saya percaya tengok dari segi trend hari ini pun, ramai yang berterima kasih kepada kerajaan. Bagi saya, ia tidak pernah terlewat, yang paling penting ada positifnya, ini menunjukkan kita tidak mempolitikkan isu ini," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.
Ismail Sabri berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat namun pengeluaran khas tersebut adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
-- BERNAMA
#KWSP #COVID-19 #kelangsungan hidup #pengeluaran
;