Langkah Bangladesh tangani sindiket penyaluran warganya cepatkan proses kelulusan pekerja - PAPSMA
Astro Awani
Februari 15, 2022 12:31 MYT
Februari 15, 2022 12:31 MYT
KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan Bangladesh mengambil keputusan tegas untuk menangani sindiket penyaluran pekerja asing negara itu disifatkan bakal mempercepatkan proses penyerahan dan kelulusan pekerja melalui sistem yang masih belum disahkan setakat ini.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair, keputusan yang diambil itu sangat tepat pada masanya selari dengan usaha Malaysia untuk memenuhi kekurangan pekerja asing yang teruk di hampir semua sektor yang diluluskan dalam pasaran pekerjaan.
"Ini akan membolehkan kerajaan Malaysia mempercepatkan proses penyerahan dan kelulusan pekerja melalui sistem yang masih belum disahkan setakat ini.
"Sekiranya keputusan untuk menamakan 25 agen pengambilan warga Bangladesh sebagai pekerja ke Malaysia diluluskan maka Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin perlu melaksanakan pautan lain untuk pengambilan khas pekerja Bangladesh ke Malaysia dengan tepat bagi membolehkan projek ini berjaya," katanya.
Sukumaran berkata demikian mengulas mengenai laporan media bahawa kerajaan Bangladesh berpendirian tegas untuk melindungi rakyat mereka yang mencari kerja di luar negara daripada ‘gangguan’ pihak tertentu untuk mengeksploitasi mereka dan mengenakan perbelanjaan tinggi.
Menurut laporan itu, Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) mendakwa wujud satu sindiket membenarkan penghijrahan pekerja melalui satu sindiket dengan menetapkan hanya 25 syarikat terlibat dalam proses itu.
Dakwaan itu dibuat susulan satu satu surat dari kerajaan Malaysia yang didakwa meminta untuk mereka berbuat demikian.
Dalam pada itu, PAPSMA turut menggesa kerajaan terutamanya KSM untuk memberikan perhatian yang teliti terhadap status buruh antarabangsa.
Jelasnya, kerajaan sepatutnya membasmi sindiket penyaluran pekerja asing haram yang akan memberikan kesan kepada negara.
"PAPSMA akan menyokong BAIRA dalam membasmi kaedah pengambilan pekerja asing secara bersindiket dan dimonopoli ke Malaysia.
"Kami percaya kepada mod pasaran terbuka dan bebas dalam semua entiti perniagaan di masa hadapan untuk ahli-ahli kami," jelasnya lagi.
Sebelum ini, PAPSMA turut menggesa kerajaan tidak mengehadkan jumlah syarikat yang dibenar membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh bagi mengelak monopoli kumpulan tersebut seperti pernah berlaku beberapa tahun lalu.
#Bangladesh
#Kementerian Dalam Negeri
#Kementerian Sumber Manusia
#Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia