Langkah baharu industri pelancongan negara: Dialog Tiga Penjuru malam ini
Israr Khalid
Oktober 14, 2021 18:50 MYT
Oktober 14, 2021 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Selepas berbulan-bulan malah ada yang bertahun tidak ke mana-mana, kini sempadan negeri dan negara telah dibuka.
Pantas beg disiapkan, enjin dihidupkan untuk pulang ke kampung halaman, untuk memeluk cium ibu bapa dan saudara-mara yang sudah lama tidak bersua, terpisah dek bencana pandemik COVID-19 dua tahun lamanya.
Pasti juga tidak kurang yang segera menempah penginapan dan tiket penerbangan untuk melihat pemandangan dan menghirup udara berbeza selepas lama terpuruk di rumah, sejurus pengumuman Perdana Menteri pada 10 Oktober tempoh hari.
Akhirnya juga, para pengusaha gotel, chalet, kenderaan persiaran, penjual cenderamata dan semua warga industri pelancongan dapat menghela nafas lega apabila mereka dapat kembali ‘hidup’ dengan kembalinya pengunjung dari serata negara.
Dalam ketika pemain dan pengguna industri pelancongan ini memulakan semula jalinan yang lama terbantut, pastinya akan ada perkara yang berubah; dahulu ada kini tiada, dahulu tiada kini ada, dalam apa jua bentuknya.
Mungkin ada tarikan yang tidak lagi dibuka kerana rosak tidak dapat diselenggara ketika ketiadaan wang pusingan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), mungkin juga ada caj yang mahu tidak mahu terpaksa dinaikkan untuk menampung kos tambahan seperti penyelenggaraan tambahan dan yang pasti, hal ehwal sanitasi.
Pengunjung sudah pasti akan tetap mahu melancong, tetapi kerisauan juga tentang hal kewangan dan keselamatan khususnya. Apabila sudah lama ‘tidur’, pastinya perut ‘lapar’ dan kalau boleh dibaham segala yang boleh digapai.
Namun kita manusia, bukan haiwan. Manusia punyai akal dan hati untuk bertimbang rasa dan mengimbangi segala yang berada di bawah kawalannya.
Maka bagaimanakah caranya untuk industri pelancongan negara kembali bangkit dan seterusnya melangkah sehingga rancak dengan jayanya tanpa menggadaikan nilai kemanusiaan itu ketika merencana strategi untuk menjana keuntungan selepas sekian lama rugi?
Paling utama, tidak juga menggadaikan keselamatan para pengunjung ketika kita masih lagi belum benar-benar menang melawan virus durjana ini.
Dialog Tiga Penjuru malam ini menampilkan tiga pemain industri pelancongan tempatan; Ammar Roslizar, pengasas bersama ARBA Travel; Haslina Mohd Eunos, pengurus Fishing Bay Resort, Teluk Buih, Mersing; dan Japiril Suhaimin, pemilik Kundasang Guesthouse merangkap pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang, Sabah.
Pastikan anda tidak terlepas siaran pada pukul 8.30 malam ini hanya di saluran 501 dan astroawani.com.