Langkah adaptasi dan mitigasi iklim mesti bermula sekarang - Pengarah Eksekutif UN-Habitat

Irfan Faruqi
Jun 5, 2023 22:48 MYT
Maimunah berkata pembangunan bandar hijau telah melangkah ke belakang akibat krisis COVID-19 dan bencana alam yang lain. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata langkah adaptasi iklim dan mitigasi iklim mesti bermula sekarang.
Jelasnya yang juga Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, hal itu sangat penting memandangkan pembangunan bandar hijau telah melangkah ke belakang akibat krisis COVID-19 dan bencana alam yang lain.
“Kita telah buat kajian dalam Laporan Bandar Dunia dan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11; Bandar dan Komuniti Mampan, berkaitan dengan aspek perbandaran.
“Daripada kajian tersebut kita dapati akibat krisis-krisis banjir, COVID-19 dan sebagainya kita telah beralih ke belakang daripada mencapai SDG. Oleh itu, kita perlu percepatkan langkah-langkah yang perlu kita ambil,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Menyentuh mengenai langkah adaptasi iklim, Maimunah berkata UN-Habitat telah mengeluarkan garis panduan, polisi dan instrumen untuk membantu negara anggota serta pihak berkuasa tempatan dalam memenuhi kriteria pembangunan hijau.
Manakala bagi mitigasi iklim, beliau menjelaskan, pihaknya memberikan pelbagai bentuk bantuan dan bimbingan kepada negara anggota untuk mencapai SDG 11 berkenaan.
“(Sebagai contoh) kita perlu kurangkan kesan gelombang haba. Antara yang dibincangkan ialah pembangunan bandar span dan bandar 15 minit. Kita sediakan peralatan dan latihan.
“UN-Habitat telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan memberikan dana adaptasi bernilai USD10 juta untuk menurunkan suhu di Pulau Pinang dengan menggunakan konsep bandar span,” katanya.
Langkah adaptasi iklim dan mitigasi iklim mesti mula sekarang - Pengarah Eksekutif UN-Habitat
#Agenda Awani #SDG #UNHA #COVID19 #UNHA2
;