Langgar tujuh kenderaan, pemandu lori tunda dipenjara 7 hari dan denda RM6,000

Umavathi Ramayah
Februari 21, 2022 16:48 MYT
Mahkamah Trafik Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang berusia 41 tahun selepas lelaki itu mengaku bersalah. - Foto JSPT
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori yang memandu secara melulu sehingga melanggar tujuh kenderaan yang diletakkan di Jalan Bandar Manjalara pada 16 Februari lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan didenda RM6,000 pada Isnin.
Mahkamah Trafik Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Shaiful Khairol Abdul Ghani, 41, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah turut memerintah tertuduh untuk dipenjara tambahan empat bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun dan kesalahan diendorskan (dicatatkan) pada lesen memandu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki itu turut dituduh di Mahkamah Majistret atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diberi jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin sehingga menunggu keputusan lampiran kimia.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang memandu lori tunda dikatakan hilang kawalan dan melanggar tujuh kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Menara Kondominium Manjalara sebelum melarikan diri.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #penjara #langgar lari #langgar kenderaan
;