Langgar tembok terowong, pemandu lori derita 2 jam tersepit
Astro Awani
Disember 8, 2019 08:18 MYT
Disember 8, 2019 08:18 MYT
Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selama dua jam akibat tersepit selepas lori 3 tan yang dipandunya terlibat kemalangan di susur terowong Jalan Tun Razak lewat malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.30 malam tadi, mangsa dipercayai melanggar tembok terowong dan tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan cedera dan sedar.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan jam 12.11 pagi tadi mengerahkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat dan Tun Razak dengan kekuatan 16 anggota dan pegawai.
Bomba bagaimanapun mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kebocoran diesel pada kenderaan berkenaan.
Mangsa yang berjaya dikeluarkan dua jam kemudian mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Punca awal kejadian masih dalam siasatan.
#Balai Bomba dan Penyelamat Keramat
#kemalangan
#lori 3 tan
#Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur
#tembok terowong
#tersepit di tempat duduk pemandu