Langgar syarat sah lesen, bot nelayan ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 2, 2022 15:02 MYT
Tekong bersama awak-awak warga Thailand dan tempatan ditahan Maritim Malaysia kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan. - Gambar APMM
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Pulau Puchong Langkawi, lewat malam tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Saliza Ahmad berkata, bot nelayan itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin dan penguatkuasaan di sekitar perairan Langkawi.
“Bot nelayan yang bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan pada jam 10.45 malam ketika menunda dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama empat awak-awak warga Thailand dan dua daripadanya adalah warga tempatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Saliza berkata, bot nelayan tempatan itu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Katanya, bot, tekong, kru termasuk hasil tangkapan dianggarkan seberat 150 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.
#bot nelayan ditahan #Pulau Puchong Langkawi #Maritim Malaysia #perairan Langkawi
;