Langgar syarat lesen, enam nelayan ditahan
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 22, 2020 11:13 MYT
Ogos 22, 2020 11:13 MYT
Sebuah bot pukat tunda kelas C dan sebuah bot peranti bersama enam nelayan ditahan dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, dalam tangkapan pertama, sebuah bot pukat tunda kelas C ditahan kira-kira jam 2.51 pagi pada jarak lebih kurang 12 batu nautika dari muara Kuala Kedah.
Turut ditahan bersama bot tersebut, seorang tekong serta tiga kru warga tempatan berusia di antara 41 dan 63 tahun,
Tangkapan kedua pula melibatkan sebuah bot peranti bersama seorang tekong dan seorang kru warga tempatan berusia 32 tahun dan 42 tahun.
Mereka ditahan pada jam 4.51 pagi pada jarak lebih kurang 8.5 batu nautika dari muara Kuala Kedah.
Kedua-dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di bawah 15 batu nautika dari pantai.
Mahmad Faizal juga menegaskan kepada pengusaha-pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
Pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.