Langgar syarat lesen, dua bot pukat kenka ditahan
Abd Razak Mohd Ali
September 8, 2022 16:56 MYT
September 8, 2022 16:56 MYT
KERIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan kerana melanggar syarat lesen di perairan Kuala Kurau di sini, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot itu ditahan ketika rondaan rutin pada kedudukan 7.7 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, sekitar jam 11.05 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot terbabit menemukan, lima kru tempatan termasuk tekong berumur antara 49 hingga 68 tahun.
“Berdasarkan pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, pasangan bot kenka terbabit bukanlah pasangan seperti yang dinyatakan dalam lesen dan bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, ujarnya, bot berkenaan juga turut menunda pukat di kawasan yang tidak dibenarkan.
Menurutnya, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.
“Maritim Malaysia menasihatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut demi kesejahteraan serta keselamatan bersama,” katanya.