Langgar syarat lesen, bot, empat kru warga asing ditahan

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 23, 2021 10:59 MYT
Bot bersama empat kru termasuk tekong serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 400kg dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu. - Foto Maritim Malaysia
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan lebih kurang 4.4 batu nautika barat daya perairan Pulau Buloh, dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 6.45 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri Perak.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, bot dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Ketika ditahan, bot berkenaan sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan.
"Bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shahrizan berkata, bot bersama empat kru termasuk tekong serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 400 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu.
Selepas tiba sekitar jam 9 malam, mereka kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut.
#langgar syarat lesen #bot nelayan #Maritim Perak #warga myanmar
;