Langgar syarat lesen: 2 bot kelas B, kru warga asing ditahan

Aida Aziz
Oktober 19, 2022 11:20 MYT
Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua tekong dan kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.. - Foto ihsan APMM
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan (BNT) kelas B pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika barat daya muara Pantai Remis, sekitar jam 6.10 petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot APMM selepas menerima aduan komuniti nelayan setempat.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar.
"Seorang kru warga Thailand dan seorang kru warga Kemboja berusia lingkungan 33 hingga 44 tahun telah menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua tekong dan kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan bagi tangkapan kedua pula mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun, juga melakukan kesalahan sama.
"Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua kru serta bot ditahan untuk siasatan lanjut," katanya lagi.
Sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #Mohd Hambali Ya akup #bot nelayan tempatan
;