Langgar syarat bon: 19 Nov keputusan permohonan Zuraida batal saman PKR

Bernama
Oktober 6, 2021 22:08 MYT
Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti terhadap Zuraida pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada PKR. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 19 Nov ini untuk keputusan permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya.
Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti terhadap Zuraida pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.
Peguam Muhammad Nizamuddin Hamid, yang mewakili Zuraida, ketika dihubungi Bernama berkata tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung permohonan Zuraida untuk membatalkan saman itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
"Mahkamah menetapkan prosiding keputusan itu dijalankan secara dalam talian (e-Review) pada 19 Nov pukul 3 petang," katanya dan memaklumkan bahawa permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan pada 29 Jan lepas.
Sementara itu, peguam Chiew Choon Man yang mewakili Saifuddin Nasution selaku plaintif ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa sekiranya permohonan tersebut ditolak, kes itu akan diputuskan melalui perbicaraan.
Dalam pernyataan tuntutan, PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
Menurut plaintif, antara terma dan syarat bon itu adalah defendan mengakui bahawa parti telah menanggung perbelanjaan yang besar untuk mempromosikan nama PKR dan defendan juga mengakui bahawa dengan melantik defendan sebagai calon dan memberikan kebenaran kepada defendan mengguna pakai logo, lambang, simbol, serta bendera parti, parti telah meningkatkan lagi nilai defendan dalam jumlah yang melebihi RM10 juta.
PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari, sekiranya berlaku beberapa perkara setelah memenangi pilihan raya atas tiket PKR seperti meletak jawatan dari parti atau bergabung dengan parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa, pada atau sekitar 24 Feb lepas, defendan dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang, iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
Plaintif menuntut defendan membayar kepada parti RM10 juta di bawah bon atau secara alternatifnya RM12,049,459.20 di bawah Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun ke atas jumlah yang akan diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar kepada plaintif, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
-- BERNAMA
#Zuraida Kamaruddin #saman pkr #langgar syarat bon #Saifuddin Nasution
;