Langgar SOP upacara keagamaan: Polis tahan 14 individu bantu siasatan
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 28, 2021 16:31 MYT
Julai 28, 2021 16:31 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 14 individu bagi membantu siasatan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam upacara keagamaan bagi urusan kematian di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan polis mendapati seramai 24 individu melanggar SOP dengan terlibat dalam ritual kematian tersebut, namun hanya 14 orang ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, mereka yang ditahan itu terdiri daripada enam lelaki dan lapan wanita wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8 malam Jumaat lepas, dan mereka yang melakukan upacara tersebut terdiri daripada ahli keluarga terdekat si mati.
Mohd Shuhaily berkata, kertas siasatan bagi kes berkenaan telah dihantar ke pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kejadian berlaku kalau tidak salah saya pada empat hari lepas. Kita juga telah membuat tindakan seperti mana yang kita lakukan seperti kes di Taman Pelangi (langgar SOP solat sunat Aidiladha) tempoh hari.
"Sejurus saja kita dapat maklumat kita tel,ah membuat siasatan dan membawa kepada (penglibatan) 24 orang, dan akhirnya telah membuat tangkapan ke atas 14 orang.
"Sepertimana kes di Taman Pelangi, kertas siasatan telah dihantar ke pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya, melibatkan enam lelaki dan lapan perempuan," ujar beliau.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, (IPK) Pulau Pinang pada Rabu.
Terdahulu tular satu video berdurasi 40 saat di aplikasi TikTok menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita melakukan ritual mengelilingi api di atas jalan raya.