Langgar SOP: Tiada golongan dilindungi termasuk menteri, VIP - Ismail Sabri

Astro Awani
Mac 20, 2021 13:30 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua yang dikesan bersalah termasuk golongan kenamaan dan menteri tidak akan dilindungi sekiranya didapati melanggar SOP. - Gambar fail
KUALA NERUS : Tiada golongan yang terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuklah mereka yang mempunyai kedudukan, pengaruh dan kuasa (VIP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua yang dikesan bersalah termasuk golongan kenamaan dan menteri tidak akan dilindungi sekiranya didapati melanggar SOP.
Jelasnya, pihaknya tidak pernah berkrompromi dengan mana-mana pihak mahupun individu yang bersalah tanpa mengira pangkat.
“Sebenarnya dari segi tindakan polis selama ini pun pernah mengambil tindakan kepada VVIP, jadi tindakan (akan dikenakan) kepada semua… tak kira VIP, VVIP – siapa sahaja yang melakukan kesalahan di negara kita ini tidak dilindungi.
“Siapa sahaja akan diambil tindakan… tetapi kerajaan hanya memperkenalkan undang-undang, dari segi penguatkuasaan kita serahkan kepada polis,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang meminta kerajaan menguatkuasakan tindakan tegas dan adil kepada semua tanpa mengira latar belakang mereka dalam memastikan pematuhan kepada SOP.
Terdahulu, polis membuka kertas enkuiri polis (KEP) bagi memulakan siasatan terhadap tuduhan beberapa menteri melanggar SOP dengan merentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya akan segera melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut susulan laporan polis dibuat MUDA.
#langar SOP #SOP #menteri #VIP #PKP #rentas negeri #ismail sabri yaakob