Langgar SOP PKPB: Sebutan semula kes Neelofa, suami 21 Oktober ini
Shuhada Abdul Kadir
September 24, 2021 11:37 MYT
September 24, 2021 11:37 MYT
SEREMBAN: Sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) membabitkan selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail ditetapkan pada 21 Oktober ini.
Ia diputuskan Majistret Mahyun Yusof selepas penyerahan dokumen kepada peguam pihak pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selesai dilakukan.
Muhammad Shafee berkata prosiding pada Jumaat (hari ini) hanya melibatkan proses penyerahan dokumen dan pihaknya akan mengkaji dokumen-dokumen tersebut bagi persiapan pembelaan dan proses representasi.
Katanya, beliau yakin kes berkenaan amat kuat dan tarikh baharu yang ditetapkan pada 21 Oktober adalah bagi sebutan semula untuk mengetahui situasi representasi serta pembelaan, dan bukan tarikh perbicaraan.
Turut mewakili Noor Neelofa dan Muhammad Haris ialah peguam Ramzani Idris, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah.
Pihak pendakwaan pula diwakili timbalan pendakwa raya Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan pada 4 petang, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.
Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.