Langgar SOP PKPB: Neelofa, suami lepas tanpa bebas
Shuhada Abdul Kadir
Disember 1, 2021 11:10 MYT
Disember 1, 2021 11:10 MYT
SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu melepas tanpa membebaskan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail terhadap pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai permaidani di Nilai, Mei lalu.
Mahkamah turut menetapkan 21 Disember ini bagi perintah pelepasan dan pembebasan (DNA).
Majistret Mohd Firdaus Saleh dalam penghakimannya berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujahan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling sebelum itu memaklumkan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan untuk menarik semula pertuduhan ke atas mereka sebelum ini telah dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pasangan itu ketika ditemui berkata beliau berpuas hati memandangkan kes itu bukanlah perkara besar tetapi sengaja dibesar-besarkan.
Jelasnya dengan keadaan Neelofa yang sedang hamil, tidak sesuai untuk memanjangkan kes berkenaan selain memaklumkan tindakan kompaun akan dikenakan terhadap anak guamnya sama ada pada Rabu atau Khamis.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (no 4) (Pindaan) (no 12) 2021.
Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual, serta tidak memakai pelitup muka di kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Nilai 3, jam 4 petang, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis tersebut atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.