Langgar SOP PKP: DBKL kompaun enam syarikat operasi melebihi had masa

Afiezy Azaman
Jun 12, 2021 11:59 MYT
Tindakan penguatkuasaan juga melibatkan pengeluaran satu notis kompaun terhadap sebuah premis yang gagal pamer lesen melalui Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976. - Facebook DBKL
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sembilan notis kompaun terhadap enam syarikat yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tindakan khas sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur lewat malam tadi.
Pemeriksaan melibatkan enam premis yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan borong buah-buahan, sayuran, barangan runcit, barangan am sejuk beku, termasuk premis mengunakan pekerja warga asing tanpa kebenaran yang sah.
Dalam operasi itu, tiga individu turut dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka ketika pemantauan SOP dijalankan.
"Sejumlah sembilan notis dikeluarkan menerusi Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 melibatkan kesalahan gagal mematuhi waktu operasi perniagaan ditetapkan.
"Satu notis kompaun juga dikeluarkan terhadap pemilik premis yang menggaji pekerja tanpa kebenaran sah di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 20(1)(b) Pelesenan Tred 2016.
"Kompaun juga dikeluarkan terhadap sebuah premis yang gagal mempamerkan lesen melalui Seksyen 107 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976," menurut DBKL dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan menunda sebuah kenderaan yang membuat halangan di bawah Kaedah 12(4), Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 turut dilaksanakan, tambahnya.
Justeru, DBKL mengingatkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan individu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga tamat tempoh pelaksanaan PKP.
Untuk sebarang aduan, warga kota boleh menyalurkan kepada pihak DBKL.
#DBKL #SOP #Kuala Lumpur #undang-undang #pelitup muka #penyakit berjangkit #PKP #Pasar Borong Kuala Lumpur #tindakan khas #operasi #tunda kenderaan
;