Langgar SOP PKP, 38 premis termasuk kilang diarah tutup - TPM
Astro Awani
Julai 20, 2021 20:49 MYT
Julai 20, 2021 20:49 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 premis kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup pada Isnin kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesalahan 38 premis itu dikesan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang membuat 83,215 pemeriksaan dan 'snap check'.
Jelas beliau, kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.
"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,970 kilang, 16,530 premis perniagaan, 1,031 tapak pembinaan dan 272 asrama penempatan pekerja.
"Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 38 premis meliputi kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan harian pelaksanaan PKP, pada Selasa.
#ismail sabri yaakob
#Timbalan Perdana Menteri
#prosedur operasi standard
#SOP
#langgar SOP
#diarah tutup
#kilang