Langgar SOP: Pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun RM95,000
Bernama
April 26, 2022 15:24 MYT
April 26, 2022 15:24 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 94 pengunjung pusat hiburan di sini dikompaun berjumlah RM94,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dalam serbuan tengah malam tadi.
Kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu masing-masing dikompaun sebanyak RM1,000.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata hasil risikan mendapati operasi pusat hiburan berkenaan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN Fasa 4 2021, yang masih lagi dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini.
"Satu kompaun RM1,000 turut dikenakan ke atas pemilik premis yang terlibat. Jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan pada serbuan lewat malam tadi adalah berjumlah RM95,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata operasi seperti itu akan terus dilaksanakan bagi meminimumkan kadar jangkitan COVID-19 yang masih tinggi ketika ini demi kesejahteraan masyarakat bersama.
-- BERNAMA