Langgar SOP: Pemilik kilang plastik, pekerja dikompaun
Afiezy Azaman
Jun 2, 2021 12:17 MYT
Jun 2, 2021 12:17 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kilang plastik dikompaun RM10,000 selepas disyaki melanggar prosedur operasi \standard (SOP) kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (total lockdown).
Sementara lapan pekerja kilang yang terletak di Taman Medan, Petaling Jaya itu juga masing-masing dikompaun RM2,000 di bawah kesalahan sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, serbuan dilakukan pukul 10.45 malam Selasa.
"Pemilik kilang (wanita) berusia 41 tahun itu dikompaun di bawah Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 2021.
"Pekerja yang terdiri daripada tujuh wanita dan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 69 tahun itu turut dikenakan kompaun bawah peraturan sama," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin memberi amaran kepada semua sektor perindustrian yang telah dibenarkan beroperasi untuk mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh 'total lockdown'.
"Tindakan tegas akan diambil ke atas pemilik kilang yang ingkar," tambah beliau.
#SOP
#Majlis Keselamatan Negara
#Petaling Jaya
#total lockdown
#sekatan pergerakan penuh
#penyakit berjangkit
#pemilik kilang
#Taman Medan