Langgar SOP: Pegawai, tiga anggota ditukar serta-merta - Ketua Polis Selangor
Bernama
Oktober 7, 2024 21:00 MYT
Oktober 7, 2024 21:00 MYT
SHAH ALAM: Empat anggota termasuk seorang pegawai berpangkat inspektor dipindah keluar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta-merta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) menyalahgunakan premis kerajaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penukaran serta-merta itu membabitkan individu berpangkat koperal, sarjan, sarjan mejar dan inspektor.
Beliau berkata arahan berkenaan dikeluarkan susulan tindakan anggota berpangkat koperal membawa masuk empat orang awam iaitu tiga wanita dan seorang lelaki ke pejabat mereka pada awal pagi 28 Sept.
"Dalam insiden 'so called' parti itu, mereka mendengar muzik dan juga ada makanan sedikit. Mana-mana orang awam tidak boleh dibawa ke premis pejabat tanpa ada urusan rasmi.
"Susulan itu, kita telah mengambil tindakan menukarkan anggota berpangkat koperal ini keluar daripada (Kontinjen) Selangor serta tiga lagi anggota 'so called' penyelianya berpangkat sarjan, sarjan mejar dan inspektor kerana tindakan yang menyalahi SOP itu," katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini hari ini
POLIS-TUKAR 2 (AKHIR) SHAH ALAM
Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan pemberita berhubung tindakan terhadap seorang anggota di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang didakwa melakukan pelanggaran protokol menganjurkan parti persendirian di pejabat polis.
Terdahulu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan seorang anggota polis didakwa melakukan pelanggaran protokol dengan menganjurkan parti persendirian di bilik petugas pada 28 Sept sebelum pemeriksaan mengejut dilakukan Jabatan Integriti Shah Alam pada 1.30 pagi.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan seorang daripada tiga anggota polis yang ditahan kerana didapati positif dadah menerusi serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras pada 5 Okt bukan ketua balai dari IPD Kajang.
Ketiga-tiga anggota yang bertugas di IPD Kajang itu juga telah ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen sementara menunggu hasil siasatan.
-- BERNAMA