Langgar SOP: Najib dan pengurus restoran nasi ayam di Bukit Bintang dikompaun - Polis

Fareez Azman
Mei 6, 2021 17:57 MYT
Najib dikenakan kompaun atas dua kesalahan iaitu gagal mengimbas suhu badan dan mendaftar kehadiran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dikompaun RM3,000 manakala seorang pengurus restoran nasi ayam dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Mac lalu.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, Wei Hoa yang juga pengurus restoran nasi ayam terbabit didapati gagal mengarahkan Najib mengimbas suhu dan mendaftar diri ketika memasuki premisnya yang terletak di Bukit Bintang, ibu negara.
Manakala Najib dikenakan kompaun atas dua kesalahan iaitu gagal mengimbas suhu badan dan mendaftar kehadiran.
“Pada 6 Mei 2021, kertas siasatan kes pelanggaran SOP norma baharu oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Restoran Nasi Ayam Bukit Bintang telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara.
“Yeok Wei Hao selaku Pengurus Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 apabila gagal mengarahkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama dalam buku daftar sebagaimana yang disyaratkan dalam SOP norma baharu yang sedang berkuatkuasa,” katanya pada Khamis.
Langgar SOP | Pengurus restoran, Najib Razak dikompaun
Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempat penyakit berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (NO4) 2021.
Manakala Najib didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan yang sama kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB.
“Pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi COVID-19," menurut kenyataan itu lagi.
#Najib Razak #SOP #COVID-19 #PKPB #PKP #restoran nasi ayam #langgar SOP #Bukit Bintang #Majlis Keselamatan Negara #perintah kawalan pergerakan #kompaun #dikompaun
;