Langgar SOP: Lima NGO buat laporan polis ke atas penganjur #Keluar dan #Lawan

Umavathi Ramayah
Ogos 2, 2021 15:39 MYT
Gabungan NGO itu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan itu yang jelas melanggar prosuder operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lima Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini terhadap penganjur perhimpunan #Keluar dan #Lawan yang diadakan di ibu kota, Sabtu Lalu.
NGO terbabit adalah Persatuan Anak Melayu Johor, Gabungan NGO Malaysia, Pertubuhan Sosial dan Minda Prihatin, Dewan Perundingan NGO dan Pertubuhan Salam Budi.
Dalam laporan itu, gabungan NGO itu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan itu yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili NGO terbabit turut menyatakan kekecewaan dengan sikap tidak bertanggungjawab Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang berdiam diri terhadap tindak-tanduk peserta perhimpunan yang jelas melanggar SOP.
"Di saat negara dilanda COVID-19, perhimpunan ini mengancam ketenteraman awam.
"Sehubungan itu, kami menggesa polis untuk mengambil tindakan tegas ke atas penganjur dan pastikan tidak berulang lagi sebarang perhimpunan yang melanggar PKP," katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi di sini, pada Isnin.
Ingkar PKP | Lima NGO buat laporan polis ke atas penganjur
Sementara itu, Naib Presiden Anak Melayu Johor, Najmuddin Mahmood pula menyatakan kebimbangan ekoran kemungkinan akan wujudnya kluster perhimpunan berikutan tindakan tidak bertanggungjawab itu.
"Negara lain pun terkesan juga, bukan Malaysia sahaja. Ini melibatkan satu dunia, satu dunia tak lagi selesai, kenapa rakyat Malaysia tidak boleh bersatu mengekang benda (COVID-19) ini.
"Kalau sudah sampai ke IPD, saya rasa OCPD (Ketua Polis Daerah) akan mengambil tindakan, dia tak kira menteri ke, rakyat ke, kita tak mahu kluster ini merebak," katanya.
Setakat ini, polis menerima kira-kira 20 laporan dibuat oleh orang ramai berkenaan perhimpunan itu dengan 29 individu dikenal pasti dan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan.
Sementara beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video dan gambar.
Siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan akta-akta lain yang relevan.
Sebelum ini, media melaporkan kira kira 450 individu berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan #Lawan, menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Dataran Merdeka #perintah kawalan pergerakan #Polis Diraja Malaysia #Muhyiddin Yassin #penyakit berjangkit #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #SOP #COVID-19 #ingkar PKP
;