Langgar SOP: Kilang proses sarung tangan dikompaun, diarah tutup

Bernama
Jun 20, 2021 21:00 MYT
Premis yang dikompaun itu beroperasi dengan kapasiti kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam kawasan PKP 3.0. - Gambar hiasan/ Bernama
IPOH: Sebuah kilang memproses sarung tangan getah di Kamunting Raya Industrial di Taiping diarahkan tutup serta-merta dan dikompaun RM25,000 kerana dikesan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata tindakan diambil menerusi operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, dibantu Unit Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Taiping ke atas premis itu pukul 10 pagi semalam.
"Pemeriksaan mendapati premis tersebut beroperasi dengan kapasiti kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan telah melanggar SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam kawasan PKP 3.0.
"Pemeriksaan juga mendapati pemilik premis mengemukakan maklumat tidak tepat mengenai kontak rapat dan maklumat lokasi jangkitan sebenar kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Taiping," katanya dalam kenyataan.
Osman berkata premis berkenaan diarahkan ditutup bermula semalam (20 Jun) hingga 27 Jun dan tindakan diambil mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta 342 dan Seksyen 22(b) Akta 342.
-- BERNAMA
#kilang sarung tangan #diarah tutup #total lockdown #Osman Mamat #PKP #SOP #jangkitan #kontak rapat #langgar SOP #Taiping #Kamunting Raya Industrial #Kapasiti #kehadiran pekerja #maklumat tidak tepat #kompaun #PKP 3 0 #sarung tangan getah