Langgar SOP, 'Karen' dikompaun RM3,000 atas dua kesalahan
Ridauddin Daud
Oktober 31, 2021 16:23 MYT
Oktober 31, 2021 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan dua kompaun dengan jumlah keseluruhan RM3,000 kepada seorang wanita warga asing yang menimbulkan kekecohan selepas dihalang masuk ke sebuah butik di KLCC baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, wanita itu dikompaun pada Ahad atas dua kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.
“Dua kompaun dikeluarkan ke atas individu terbabit yang mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.
“Kesalahan pertama ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian Internet yang luas.
“Manakala kesalahan kedua pula ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Langgar SOP | 'Minah saleh' dikenalpasti, akan dipanggil - Polis
Insiden melibatkan wanita tersebut tular di media sosial baru-baru ini dan warganet menggelar wanita itu sebagai ‘Karen’.
Kebanyakannya tidak senang dengan tindakan wanita itu yang tidak memakai pelitup muka dan menimbulkan kekecohan selepas tidak dibenar masuk ke sebuah butik di KLCC.
Bahkan, dua hari selepas insiden itu, wanita tersebut dikesan bertengkar dengan pihak pengawal apabila cuba memasuki pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) tanpa memakai pelitup muka.
Perbuatan wanita tersebut yang disifatkan sebagai mementingkan diri sendiri itu berjaya dirakam pengguna akaun Twitter.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan insiden kekecohan ditimbulkan wanita berkenaan.
Hal itu disahkan menterinya, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitter.
“Bila di Rom, buat seperti apa orang Rom buat.
"Apabila berada di Malaysia, sila pakai pelitup muka. Tidak kisahlah undang-undang di tempat lain."