Langgar SOP: 15 kilang di Sri Muda dikompaun RM10,000 setiap satu
Afiezy Azaman
Jun 23, 2021 12:23 MYT
Jun 23, 2021 12:23 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kilang dikenakan kompaun masing-masing RM10,000 susulan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di kawasan Sri Muda, Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, tindakan tersebut diambil dalam operasi bermula 18 hingga 22 Jun lalu, membabitkan pemeriksaan ke atas 333 buah kilang.
“Tiga kilang beroperasi tanpa surat kebenaran MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) iaitu kilang pembungkusan, penghantaran barang dan pencetakan.
"Empat kilang lagi beroperasi tidak mengikut arahan dalam surat kebenaran MITI membabitkan kilang bahan ganti telefon, komponen besi dan jentera.
"Tiga kilang yang melanggar syarat kapasiti pekerja yang dibenarkan 60 peratus adalah kilang elektronik dan pam air.
"Manakala lima kilang lagi tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas untuk pekerja kilang, membabitkan kilang logistik dan pembuatan makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata, kesemua kilang tersebut dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sementara itu, seramai 22 pekerja kilang masing-masing dikenakan kompaun RM2,000.
"Jumlah keseluruhan kompaun bagi 15 kilang dan 22 pekerja yang dikenakan tindakan adalah RM194,000,” ujarnya.
#MITI
#SOP
#shah alam
#perintah kawalan pergerakan
#penyakit berjangkit
#PKP
#surat kebenaran
#prosedur operasi standard
#Baharudin Mat Taib
#kompaun
#ingkar SOP
#kilang