Langgar polis semasa Op Tapis Khas, lelaki ditahan

Bernama
Ogos 1, 2024 14:53 MYT
ACP Razlam berkata, lelaki itu ditahan di Air Itam, sehari selepas kejadian, hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang bertindak melanggar seorang konstabel polis hingga cedera di beberapa bahagian badan semasa Op Tapis Khas di kawasan Klinik Kesihatan di Sungai Dua di sini, ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Air Itam, di sini iaitu sehari selepas kejadian tersebut hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis.
"Dalam kejadian pada kira-kira 8.20 pagi Selasa itu, sepasukan polis telah menjalankan Op Tapis Khas dalam kawasan klinik tersebut selepas menerima aduan terdapat kegiatan penjualan dadah kepada penagih yang menerima rawatan metadon di situ.
"Ketika pihak polis cuba menahan suspek yang menaiki sebuah motosikal, lelaki itu yang juga penagih dadah bertindak melanggar konstabel berusia 27 tersebut kerana mahu melarikan diri daripada ditahan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Razlam berkata anggota polis lelaki berkenaan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan diberi rawatan awal di klinik kesihatan tersebut sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Beliau berkata konstabel tersebut menerima rawatan sebagai pesakit luar di HPP dan diberikan cuti sakit, manakala suspek yang mempunyai 14 rekod lampau berkaitan dadah serta empat kes jenayah kini direman untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#Op Tapis #polis #langgar polis #jual dadah