Langgar lari wanita mengandung, pemandu lori ditahan
Astro Awani
April 1, 2014 17:57 MYT
April 1, 2014 17:57 MYT
Polis telah menahan seorang pemandu lori yang melarikan diri selepas merempuh sebuah kereta sehingga menyebabkan kematian seorang wanita sarat mengandung di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Baru, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), ACP Sulaiman Salleh berkata, lelaki berusia 60an itu ditahan di Balai Polis Trafik JBS kira-kira pukul 10 pagi hari ini.
Katanya, lelaki berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
"Kita tahan pemandu untuk disiasat dan kita akan tengok sama ada dia memandu di bawah pengaruh dadah atau pengaruh alkohol.
"Lepas kemalangan pemandu melarikan diri namun hari ini kita dapat kesan dan kita sudah ditangkap untuk siasatan selanjutnya," katanya ketika ditemui hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin, mangsa, Noor Hayati Che Aziz, 30, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan, maut apabila kereta Proton Pesona yang dipandu suaminya, Mohd Faizal Rosli, 31, dilanggar sebuah lori pasir di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Baru.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HIS), di sini.
Bagaimanapun, Mohd Faizal bersama dua anak mereka, Muhamad Farhan Danial, 6, dan Noor Fazliyana Dania, 5, sekadar cedera ringan manakala adik mangsa, Nasarudin, 20, cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
Sementara itu, ibu mertua mangsa, Zaiton Isa berkata, mangsa dan keluarga bercadang untuk berpindah ke rumah baru mereka di Masai dalam masa terdekat selepas menerima kunci daripada pemaju minggu lepas.
Malah ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan bertemu peguam rumah barunya itu selepas menghantar abang Noor Hayati ke Terminal Bas Larkin untuk pulang ke Kuantan.
Katanya, Noor Hayati yang berasal dari Kuantan merupakan menantu yang baik dan sudah bercadang untuk melahirkan anak ketiga yang dijangka penghujung Mei, di rumahnya di Lubuk China, Negeri Sembilan.
"Ketika melahirkan kedua-dua anaknya sebelum ini, Noor Hayati juga berpantang di rumah saya. Dia menganggap saya bagai ibu sendiri dan saya juga sayangkan dia bagai anak sendiri.
“Sayu hati saya apabila anak-anak arwah menanyakan ibu mereka yang sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumah mayat HSI.
Menurut Zaiton, jenazah Noor Hayati akan dibawa ke Lubuk China untuk dikebumikan.