Langgar lari pejalan kaki: Kertas siasatan dirujuk ke Pengarah Pendakwaan Negeri esok
Astro Awani
April 9, 2017 17:50 MYT
April 9, 2017 17:50 MYT
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid melalui aplikasi Whatsapp memaklumkan kertas siasatan berhubung kes itu sudah siap dan akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) esok (Isnin) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak polis telah selesai merakam percakapan suspek dan kertas siasatan itu akan dirujuk ke PPN untuk arahan seterusnya.
Katanya kes itu, disiasat mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek yang berusia 44 tahun ditahan polis di Hospital Pulau Pinang ( HPP) dilaporkan turut mengalami kecederaan di bahagian dagu serta retak tulang pipi.
Pada Khamis, Foo Swee Wah, 58, terbunuh selepas dirempuh seorang penunggang motosikal yang melanggar lampu merah di lintasan pejalan kaki di Jalan Burma dekat balai polis Pulau Tikus.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki akibat pelanggaran itu sebelum disahkan meninggal dunia pukul 8.45 malam hari yang sama.
See Wah pemilik kedai kopi berdekatan melintas jalan tersebut apabila lampu pejalan kaki bertukar hijau.
Mangsa hampir menyeberangi jalan itu sebelum dirempuh penunggang motosikal terlibat, menyebabkan dia tercampak beberapa meter.
Penunggang motosikal terbabit bagaimanapun bertindak tidak memberhentikan kenderaan dan terus melarikan diri dari lokasi kejadian.
Video rakaman kemalangan yang meragut nyawa itu tular di media sosial dan netizen mengecam tindakan penunggang motosikal yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.