Langgar lari Karak: Pemandu Toyota Camry putih direman 4 hari
Fauzi Suhaimi
September 1, 2020 12:55 MYT
September 1, 2020 12:55 MYT
Pemandu kereta jenis Toyota Camry yang terlibat dalam kes langgar lari membabitkan sebuah motosikal di Kilometer 56.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditahan reman empat hari mulai hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, suspek yang merupakan seorang peniaga berusia 37 tahun itu ditahan di Balai Gombak kira-kira pukul 7 petang semalam (Isnin).
"Perintah tahanan reman ke atas pemandu dikeluarkan oleh Majistret Bentong selama empat hari bermula hari ini akan dilaksanakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam tular dalam media sosial sebuah kereta Toyota Camry berwarna putih yang didakwa melarikan diri selepas menyebabkan kemalangan di laluan kecemasan lebuh raya Karak berjaya ditahan polis.
Kedua-dua kenderaan itu dipandu datang dari arah Pahang menghala ke Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata polis juga telah mengesan saksi awam dan kini dalam proses untuk hadir bagi membantu siasatan.
"Kita juga sudah dapat kesan (saksi) dan dalam proses untuk hadir bantu siasatan," katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan
#Kuala Lumpur
#langgar lari
#Pahang
#peniaga
#polis
#siasatan
#suspek
#Toyota
#ujian saringan