Langgar lari guna kereta milik pelanggan bengkel

Sinar Harian
Mei 5, 2022 07:50 MYT
Nahas melibatkan Proton Exora yang dipandu lelaki berumur 35 tahun dengan sebuah motosikal dari arah Gombak menghala ke Ampang. -Foto Facebook/Haikal Nusantara
AMPANG: Seorang lelaki warga Pakistan yang memandu kenderaan jenis Proton Exora dipercayai melarikan diri setelah terlibat nahas dengan sebuah motosikal di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati pemandu warga asing itu merupakan pekerja di sebuah bengkel.
"Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang antara Proton Exora yang dipandu lelaki berumur 35 tahun itu dengan sebuah motosikal dari arah Gombak menghala ke Ampang.
"Ketika kejadian penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun itu tidak sempat mengelak apabila Proton Exora tersebut telah mengubah haluan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, perlanggaran mengakibatkan mangsa yang merupakan operator di sebuah kilang tercampak ke tepi jalan dan cedera di tangan dan kaki.
"Pemandu Proton Exora itu kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, pemilik Proton Exora tampil membuat laporan polis sejurus mendapati kejadian tersebut tular di media sosial.
"Kenderaan miliknya itu sebelum ini telah dihantar ke bengkel kereta untuk dibaiki dan pemilik kenderaan tersebut mengesyaki kenderaannya itu diguna serta dipandu oleh pihak bengkel.
Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Proton Exora #Nahas #motosikal #warga asing
;